Tahniah Pasukan Debat Bahasa Melayu UniSZA!
Tahniah Pasukan Debat Bahasa Melayu UniSZA!
Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Pasukan Debat Bahasa Melayu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) atas kejayaan gemilang merangkul tempat ketiga dalam Pertandingan Debat Antara Asasi 2025 yang telah berlangsung pada 27 April di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Pencapaian ini membuktikan kesungguhan, kerjasama, dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan para pendebat UniSZA.
Sepanjang pertandingan, pasukan ini berjaya mempamerkan hujah yang mantap, keberanian dalam menyampaikan pendapat serta keupayaan berfikir secara kritis dan kreatif. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UniSZA di peringkat kebangsaan, malah turut membuktikan kualiti pendidikan dan latihan yang diberikan oleh para jurulatih dan pihak pengurusan universiti.
Tidak lupa, setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kejayaan pasukan debat ini. Semoga pencapaian ini menjadi pendorong untuk terus melakar lebih banyak kejayaan di masa akan datang dan menjadi inspirasi kepada warga UniSZA untuk terus mengejar kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.
Ilmu Demi Faedah Insan – Knowledge for the Benefit of Humanity.