Selamat datang ke laman web rasmi Pusat Asasi Sains dan Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin

PUSPA Terlibat dalam Pembangunan Program Asasi Ulul Albab: Merealisasikan Kegemilangan Zaman Keemasan Islam

27 Februari 2025 – Pusat Asasi Sains dan Perubatan (PUSPA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah diberi penghormatan untuk terlibat dalam sesi perbincangan pembangunan Program Asasi Ulul Albab bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Sesi bersejarah ini turut disertai oleh tokoh pendidikan negara dan pengasas konsep Ulul Albab, Tan Sri Idris Jusoh, yang berkongsi visi besar dalam merealisasikan kembali kegemilangan zaman keemasan Islam melalui pendidikan bersepadu.

Objektif utama perbincangan ini adalah untuk membentuk hala tuju baharu pendidikan asasi yang bersifat tawhidi dan holistik, dengan mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli secara harmoni. Tumpuan turut diberikan kepada penyusunan kurikulum bersepadu yang bukan sahaja menekankan penguasaan sains dan teknologi, tetapi juga memperkukuhkan nilai-nilai Islam dan penghayatan Al-Quran sebagai asas kepada pembentukan sahsiah pelajar.

Antara tumpuan utama sesi ini ialah merangka standard program khas bagi Asasi Ulul Albab, yang akan menjadi model rujukan dalam melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan sosial. Kurikulum ini dijangka mampu mencorakkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berakhlak mulia dan berpandangan jauh dalam menerajui pelbagai bidang di peringkat global.

Sesi perbincangan ini turut melibatkan kerjasama erat dengan institusi lain termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang masing-masing berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam membangunkan kurikulum pendidikan Islam moden yang relevan dengan keperluan semasa.

PUSPA UniSZA menzahirkan komitmen padu dalam menyokong usaha memperjuangkan pendidikan yang mengintegrasikan ilmu duniawi dan ukhrawi, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi Ulul Albab yang memiliki kecerdasan pelbagai dimensi dan mampu menjadi pemimpin ummah yang berwawasan.

Dengan penglibatan aktif dalam pembangunan Program Asasi Ulul Albab ini, PUSPA terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju pendidikan prasiswazah yang berteraskan integrasi ilmu dan nilai Islam sejati. 

Hubungi Kami

Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kampus Gong Badak
21300 Kuala Nerus
Terengganu.

  09-6688311
  09-6688685
  asasi_puspa@unisza.edu.my

puspa logo for dark background

Lokasi

Ikuti Kami

Pengunjung

167354