Selamat datang ke laman web rasmi Pusat Asasi Sains dan Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP SEMPENA MINGGU MESRA SISWA SESI 2025/2026 (KEMASUKAN PROGRAM ASASI PERUBATAN & SAINS KESIHATAN, DAN ASASI SAINS SOSIAL)

Kuala Nerus, 8 Julai 2025 – Seramai 193 orang siswa dan siswi baharu bagi Program Asasi Perubatan dan Sains Kesihatan serta Asasi Sains Sosial diraikan dalam Majlis Penutup Minggu Mesra Siswa (MMS) sesi 2025/2026 yang telah berlangsung dengan penuh semangat kekitaan dan iltizam di Dewan Auditorium Utama, UniSZA.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk barisan Pengurusan Tertinggi Universiti yang disambut dengan tepukan gemuruh oleh para mahasiswa baharu.
Salah satu pengisian bermakna dalam majlis ini ialah ucapan wakil pelajar, yang disampaikan oleh Saudara Naufal Zulkarnain bin Mohd Anuar, mewakili barisan pelajar baharu sesi ini. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak universiti, khususnya warga Pusat Asasi, atas penganjuran Minggu Mesra Siswa yang tersusun dan berkesan. Beliau menyifatkan MMS sebagai satu titik mula penting dalam membentuk semangat dan jati diri mahasiswa. Saudara Naufal turut menyeru rakan-rakan baharu agar terus menghargai peluang menimba ilmu, mengamalkan budaya belajar sepanjang hayat, dan sentiasa menjunjung nilai keinsanan dalam mengejar kecemerlangan akademik serta sahsiah.
Majlis diteruskan dengan ucapan penutup oleh Naib Canselor UniSZA, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, yang turut memperkenalkan barisan Pengurusan Tertinggi Universiti kepada para mahasiswa. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pusat Asasi, barisan pengajar, fasilitator, dan seluruh warga universiti yang terlibat dalam menjayakan Minggu Mesra Siswa. Beliau menekankan bahawa program ini adalah cerminan komitmen UniSZA dalam memimpin ilmu Demi Faedah Insan, membudayakan Flexible Education with Soul, dan membentuk generasi masa depan yang mampu membangun serta memakmurkan tanah air.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi sewaktu bergelar mahasiswa sebagai dorongan kepada pelajar-pelajar baharu untuk sentiasa berusaha mencapai kejayaan sambil menjaga nama baik keluarga, universiti, dan negara.
Majlis diakhiri dengan lafaz ikrar Aku Janji Pelajar yang diketuai oleh Saudara Muhammad Akif Haikal bin Mohd Ghani sebagai simbolik komitmen mahasiswa baharu terhadap amanah ilmu dan tanggungjawab yang bakal digalas sepanjang tempoh pengajian di UniSZA.
Majlis ini menandakan penutup rasmi kepada satu minggu yang padat dengan aktiviti bermanfaat, sekaligus membuka tirai baharu buat para pelajar untuk melangkah ke alam pengajian tinggi dengan lebih yakin dan bersemangat.

Hubungi Kami

Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kampus Gong Badak
21300 Kuala Nerus
Terengganu.

  09-6688311
  09-6688685
  asasi_puspa@unisza.edu.my

puspa logo for dark background

Lokasi

Ikuti Kami

Pengunjung

174220