Selamat datang ke laman web rasmi Pusat Asasi Sains dan Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin

Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UniSZA Sempena Sukan Asasi Malaysia 2025 (SAM 2025)

6 Februari 2024 – Dewan Kuliah Utama (DKU), UniSZA telah menjadi saksi kepada satu majlis penuh semangat dan makna apabila Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UniSZA bagi Sukan Asasi Malaysia 2025 (SAM 2025) telah berlangsung dengan meriah. Acara ini diadakan sebagai simbolik sokongan dan suntikan semangat kepada para atlet yang bakal membawa nama UniSZA dalam temasya sukan tersebut.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA (PUSPA), Prof. Madya Dr. Sharifah Wajihah Wafa binti Syed Saadun Tarek Wafa, yang menyerahkan bendera kontinjen kepada wakil pasukan UniSZA. Penyerahan bendera ini melambangkan amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada para atlet untuk menggalas tanggungjawab membawa nama universiti di pentas kebangsaan.

Sukan Asasi Malaysia 2025 (SAM 2025) dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 9 Februari 2025 dan akan dianjurkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Temasya ini menghimpunkan pelajar-pelajar asasi dari seluruh IPTA di Malaysia dalam semangat kesukanan, kerjasama dan persahabatan.

Prof. Madya Dr. Sharifah Wajihah dalam ucapannya menyeru agar para atlet terus berjuang dengan penuh dedikasi, menjunjung tinggi nilai kesukanan dan menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk mencipta kenangan serta pengalaman yang bermakna.

“Bendera ini bukan sekadar simbol, tetapi lambang kepercayaan dan harapan kami kepada anda semua. Tunjukkan semangat juang UniSZA, dan buktikan bahawa kita mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.

Para atlet UniSZA menunjukkan semangat dan iltizam yang tinggi untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap acara yang bakal disertai. Mereka telah menjalani sesi latihan rapi dan bersungguh-sungguh dalam usaha memastikan pencapaian cemerlang dalam SAM 2025.

Seluruh warga UniSZA turut merakamkan ucapan selamat berjuang kepada kontinjen UniSZA. Semoga usaha gigih dan semangat kesukanan yang ditunjukkan akan membuahkan hasil yang membanggakan.

Hubungi Kami

Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kampus Gong Badak
21300 Kuala Nerus
Terengganu.

  09-6688311
  09-6688685
  asasi_puspa@unisza.edu.my

puspa logo for dark background

Lokasi

Ikuti Kami

Pengunjung

166159