
Dari Asasi ke Sarjana ke Mercu Andalusia 2.0: UniSZA Perintis Pendidikan Bersepadu Berteraskan Ilmu Naqli dan Aqli
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar satu lagi langkah strategik dalam pembangunan pendidikan bersepadu apabila diberi peluang menyertai sesi perbincangan Andalusia 2.0, sebuah inisiatif berwawasan tinggi yang bertujuan mengangkat semula kegemilangan tamadun Islam melalui sistem pendidikan yang menyeluruh dari peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi.
Sesi bersejarah ini dipengerusikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Haji Idris bin Jusoh, yang juga merupakan pencetus kepada idea Ulul Albab dan kini mengetuai usaha ke arah pembentukan model Andalusia 2.0. Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah tokoh-tokoh ilmuwan terkemuka negara seperti Prof. Emeritus Dato’ Dr. Yusof Othman dan Prof. Emeritus Datuk Ishak Haron, serta wakil-wakil institusi pendidikan tinggi dari UiTM, UNITEN, dan UPSI.
Delegasi UniSZA diketuai oleh barisan kepimpinan tertinggi universiti, termasuk Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Shukor Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Dato' Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff @ Che Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), dan Encik Muzafar bin Mohd Din, Pendaftar UniSZA.
Pusat Asasi Sains dan Perubatan (PUSPA), UniSZA turut memainkan peranan penting dalam sesi ini melalui pembentangan yang disampaikan oleh Pengarah PUSPA, Prof. Madya Dr. Sharifah Wajihah Wafa binti Syed Saadun Tarek Wafa. Dalam pembentangan tersebut, beliau telah memperkenalkan kerangka model Andalusia 2.0 yang berteraskan pendekatan Tauhidic Epistemology – satu usaha sistematik untuk mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli dalam kurikulum pendidikan secara menyeluruh. Turut serta dalam delegasi PUSPA ialah Dr. Nurulhuda binti Yusoff, yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Pengarah Akademik PUSPA dan Dr. Siti Noor Syuhadah binti Muhammad Amin, Penyelaras Program Ulul Albab.
Model ini memberi penekanan kepada pendidikan holistik yang bukan sahaja menekankan penguasaan ilmu sains dan teknologi, tetapi turut memperkukuh nilai-nilai Islam dan penghayatan spiritual dalam membentuk modal insan seimbang dan berakhlak mulia. Pendekatan ini diyakini mampu menjadi asas kepada sistem pendidikan yang berdaya tahan, relevan, dan berpandangan jauh dalam konteks global semasa.
Dengan penyertaan aktif dalam inisiatif Andalusia 2.0, UniSZA kini berada di landasan untuk menjadi perintis dalam gerakan integrasi ilmu di peringkat antarabangsa. Kesungguhan ini sejajar dengan misi universiti untuk membangunkan insan berilmu tinggi, bertanggungjawab dan berdaya saing dalam pelbagai bidang.
InshaAllah, semoga usaha ini terus menjadi penyumbang utama kepada kegemilangan ilmu Islam moden serta memperkasa generasi Ulul Albab sebagai pemimpin masa depan ummah.