
Bual Bicara Andalusia "Menyemai Jiwa Ulul Albab Dalam Pendidikan Negara"
Kuala Nerus, 4 Ogos 2025 – Auditorium Bangunan Akademik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini menjadi lokasi penganjuran Program Bual Bicara Andalusia 2.0: Menyemai Jiwa Ulul Albab dan Pendidikan Negara bersama YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Idris bin Jusoh, mantan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.
Majlis yang bermula pada jam 9.30 pagi itu turut dihadiri Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam bersama barisan Pengurusan Tertinggi universiti. Kehadiran pengetua Sekolah-Sekolah Imtiaz dan kira-kira 100 pelajar Pusat Asasi dan Sains Perubatan (PUSPA) turut memeriahkan suasana.
Dalam sesi bual bicara yang dikendalikan sendiri oleh YBhg. Tan Sri Idris Jusoh, beliau menekankan kepentingan membentuk generasi berpengetahuan, berintegriti, serta berakhlak mulia berlandaskan nilai-nilai Islam, selaras dengan aspirasi melahirkan pelajar Ulul Albab yang seimbang dari segi pencapaian duniawi dan ukhrawi.
Program ini juga menampilkan sesi soal jawab interaktif yang memberi peluang kepada pelajar dan tetamu berinteraksi secara langsung dengan beliau.
Anjuran PUSPA ini merupakan kesinambungan inisiatif UniSZA dalam memupuk nilai-nilai murni, kepimpinan, dan kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan warga universiti, khususnya pelajar PUSPA yang bakal menjadi peneraju masa depan negara.