PUSPA Innovation Fair 2024
Pada 25 November 2024, seramai 196 orang pelajar Pusat Asasi Sains dan Perubatan (PUSPA) melibatkan diri dalam Program PUSPA Innovation Fair (PIFA) 2024 yang bertempat di Dewan Perdana UniSZA. Program ini melibatkan pelajar-pelajar PUSPA dan 10 orang pensyarah PUSPA sebagai mentor kepada setiap kumpulan projek, dan juga 10 orang juri yang terdiri daripada pensyarah UniSZA serta jemputan profesional luar universiti yang berpengalaman dalam bidang penyelidikan dan inovasi bagi menghasilkan projek inovasi dan reka cipta yang berkualiti.. Pelajar-pelajar ini merupakan pelajar cemerlang lepasan SPM dalam bidang sains tulen dan sebahagian daripada mereka mempunyai pengalaman menyertai pertandingan inovasi dan reka cipta di peringkat sekolah.
Objektif program ini adalah untuk menerangkan konsep pemikiran kritis dan kreatif secara komprehensif. Selain itu, mengaplikasikan keupayaan penaakulan logik dan teknik penyelesaian masalah dalam pelbagai situasi serta menggabungkan teknik pemikiran kreatif untuk menghasilkan penyelesaian inovatif kepada pelbagai cabaran. Pertandingan ini terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu Kategori 1: Sains & Teknologi & Kategori 2 : Pendidikan. Program PIFA 2024 merupakan inisiatif untuk mencungkil dan mengembangkan bakat pelajar asasi dalam bidang inovasi dan reka cipta serta memberi pendedahan awal kepada pelajar sebelum menyertai pertandingan inovasi dan reka cipta di peringkat kebangsaan.
Pada tahun ini, PUSPA Innovation Fair (PIFA) telah di masukkan ke dalam kurikulum subjek "Kemahiran Berfikir". Justeru, ia menjadi program tahunan di bawah PUSPA, di mana semua pelajar PUSPA diwajibkan menyertai program ini bagi memperoleh markah untuk subjek tersebut.