Program Mentorship Science
Pada 15 - 16 November 2024, Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA (PUSPA) telah bekerjasama dengan Fakulti Sains Kesihatan (FASKES) untuk mengadakan Program Mentorship Science yang bertempat di Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SESTER) (@smsainskualaterengganu). Program ini melibatkan seramai 62 orang pelajar Tingkatan 4 sekolah tersebut.
Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai peluang dan cabaran dalam bidang sains kesihatan dan perubatan, selain menyemai minat serta motivasi mereka untuk mengejar kecemerlangan akademik dan kerjaya profesional.
Sepanjang dua hari program tersebut dijalankan, seramai 8 orang pelajar PUSPA telah mengajar dan berkongsi tips dalam menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek Fizik dan Matematik Tambahan. Pelajar FASKES dan PUSPA juga turut berpeluang berkongsi tentang informasi-informasi yang berguna dan menarik tentang penjagaan kesihatan untuk menarik minat pelajar menceburi bidang-bidang berkaitan.
Di samping itu, program ini turut memfokuskan pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan pengurusan masa yang amat penting untuk masa depan. Melalui hubungan yang terjalin antara pelajar dan mentor, diharapkan program ini dapat menjadi inspirasi dan pendorong kepada para peserta untuk terus melangkah ke arah kejayaan.
Sekian, Terima Kasih.