Selamat datang ke laman web rasmi Pusat Asasi Sains dan Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin

PROGRAM STEM EDUCATORS BOOTCAMP TAHUN 2023

Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA (PUSPA) bersama Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pendidikan STEM Terengganu di bawah pembiayaan Yayasan Guru Tun Hussin Onn (YGTHO) telah mengadakan program STEM Educators Bootcamp 2023 yang berlangsung pada 12-14 September 2023 bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Penglibatan kakitangan universiti/organisasi adalah seramai 125 orang manakala guru sekolah harian sebanyak 260 guru yang terdiri daripada 119 buah sekolah di negeri Terengganu.

Program ini merupakan suatu program untuk memupuk dan membudayakan amalan Pendidikan STEM dalam PdP guru melalui Modul Kembara STEM. Selain itu, program ini dapat mempersediakan dan meningkatkan kemahiran guru dalam bidang STEM Kelautan, STEM Kesihatan, STEM Kreativiti & Inovasi, STEM Eksplorasi dan STEM Robotik. Pengarah PUSPA, Prof. Madya Dr. Sharifah Wajihah Wafa Bt Syed Saadun Tarek Wafa dan lapan orang pensyarah turut hadir sebagai ahli jawatankuasa (AJK) dan fasilitator bagi menjayakan program ini. Pada permulaan program ini, Pengarah Program STEM Educators Bootcamp, Prof. Madya Dr. Laili Che Rose telah menyampaikan taklimat program kepada kakitangan universiti dan guru sekolah harian.

Pemindahan ilmu yang telah dijalankan antara fasilitator (pensyarah) kepada mentor (guru sekolah) telah mendapat sambutan begitu meriah. Seperti yang kita ketahui, guru sekolah amat memainkan peranan sebagai mentor kepada murid sekolah dalam pemindahkan ilmu STEM memandangkan mata pelajaran STEM kurang mendapat sambutan dan digeruni dalam kalangan pelajar.

Pada majlis perasmian penutup program tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Tuan Haji Kasman bin Embong telah mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak kolaborasi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) dan JAZRO Robotic Akademy . Tidak terlupa kepada pembiayaan YGTHO yang merupakan penyumbang utama dalam merealisikan program ini. Beliau begitu bangga menyambut dan menyokong penuh penganjuran program STEM Educators Bootcamp 2023. Seperti mana yg kita disedia maklum, generasi muda merupakan pelapis utama negara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan Sains, Teknologi, Inovasi (STI) yang mencukupi dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negara.

Oleh itu, sudah tentu ia bkait rapat dengan pendidikan STEM kerana ia merupakan asas terpenting bagi menghasilkan modal insan yg diperlukan dan juga memupukkan minat pelajar terhadap bidang STEM. Program ini mampu memberikan impak yang besar terhadap industri pada masa akan datang seperti melahirkan graduan kalis masa depan (Future Prood Graduate) dan graduan IR4.0 seperti keperluan industri.Program ini disempurnakan dengan penyampaian sijil dan modul kepada sekolah yang terlibat. Walaupun penyampaian sijil dan modul mengambil masa yang agak lama namun ia mampu mencipta seribu kenangan di atas pentas bersama semua sekolah yang terlibat.

Keseluruhan, program ini berjalan dengan lancar selama tiga hari berturut-turut. Para guru mengharapkan ia akan diadakan pada setiap tahun kerana program ini terbukti dapat memantapkan pendidikan sains, teknologi, kejuteraan dan matematik (STEM) melalui Modul STEM Kembara dan memperluas akses pembelajaran STEM kepada komuniti luar bandar.

Modul STEM Kreativiti Inovasi Kereta Solar

Gambar 1 : Modul STEM Kreativiti & Inovasi (Kereta Solar)

Modul STEM Kesihatan Model Jantung DIY

Gambar 2 : Modul STEM Kesihatan (Model Jantung DIY)

Sesi fotografi bersama Timbalan Pengarah JPNT Tuan Haji Kasman bin Embong

Gambar 3 : Sesi fotografi bersama Timbalan Pengarah JPNT, Tuan Haji Kasman bin Embong

Hubungi Kami

Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kampus Gong Badak
21300 Kuala Nerus
Terengganu.

  09-6688311
  09-6688685
  asasi_puspa@unisza.edu.my

puspa logo for dark background

Lokasi

Ikuti Kami

Pengunjung

153886