Karnival Pendidikan STEM Dan Seminar Kaunselor Negeri Terengganu 2023
Pada 20 Mac 2023, Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA (PUSPA) telah dijemput oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) yang bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Terengganu dalam penganjuran Karnival Pendidikan STEM dan Seminar Kaunselor Negeri Terengganu 2023 yang bertempat di Dewan Besar Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Marang. Karnival ini bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 5.00 petang.
Pempamer terdiri daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pempamer murid sekolah. Tujuan utama karnival ini adalah untuk berkongsi kepada murid tentang pelaksanaan pendidikan Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) di sekolah. Selain itu, karnival ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar dalam melanjutkan pelajaran peringkat tinggi serta pembiayaan yang ditawarkan. Karnival ini dimulakan dengan pendaftaran pengunjung dan diikuti dengan perasmian oleh Pengarah JPNT, Tuan Haji Abdul Muie Bin Ngah.
Slot perkongsian ilmu disertai oleh agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Yayasan Terengganu, Kolej Kemahiran MARA serta institut pengajian UMT, UniSZA dan UniKL. Sehubungan dengan itu, Pengarah PUSPA, Prof. Madya Dr. Sharifah Wajihah Wafa Bt Syed Saadun Tarek Wafa telah berkongsi ilmu mengenai Program Asasi Sains dan Perubatan UniSZA kepada murid serta guru pembimbing memandangkan masih ramai murid yang tidak tahu mengenai jurusan yang ditawarkan di peringkat universiti.
Pameran PUSPA begitu meriah dengan kedatangan murid dari pelbagai sekolah di Terengganu. Pelajar sibuk berpusu-pusu sekitar pameran untuk mendapatkan informasi kursus yang ditawarkan oleh institusi pengajian. Mereka turut meneroka Virtual Reality (VR) Headset & permainan Electrico. VR adalah format video yang membolehkan pengguna berinteraksi secara langsung dengan video yang ditonton seolah-olah berada di dunia yang reality. Mereka tidak berhenti berfikir untuk menyelesaikan permainan Electrico ini bagi memperolehi hadiah yang lumayan yang ditawarkan.
Penutupan karnival ini disempurnakan dengan pemberian sijil kepada pempamer oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, JPNT, Tuan Haji Kasman bin Embong. Karnival ini turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Matematik & Sains, Sektor Pembelajaran, JPNT.Tuan Haji Mohd Zamri Bin Ab Razak,
Hasil daripada temubual bersama beberapa orang murid, rata-rata mereka ingin menyambung pengajian yang berdekatan dengan kediaman asal mereka dan mereka berminat untuk memasuki Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) setelah menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hal ini kerana, mereka lebih selesa untuk tinggal berdekatan dengan ahli keluarga masing-masing. Semoga karnival ini dapat menjadi penyumbang terbesar angka peningkatan pelajar dalam institut pengajian tinggi pada masa akan datang.