Graduan Sulung Alumni Pusat Asasi Sains Dan Perubatan UniSZA (PUSPA)

Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA (PUSPA) telah ditubuhkan secara rasmi pada 26 Ogos 2014 dan telah menerima akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 5 Disember 2015. Penubuhan pusat ini adalah untuk mewujudkan kursus persediaan berstatus pra universiti kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains, perubatan dan teknologi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).   

                PUSPA telah menerima graduan sulung seramai 60 orang pelajar. Para graduan ini telah menamatkan pengajian di PUSPA pada 20 April 2017 dan melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di beberapa fakulti terpilih di UniSZA. Mereka boleh memilih di antara 21 kursus daripada 6 fakulti iaitu Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Farmasi, Fakulti Informatik dan Komputeran, Fakulti Biosumber dan Industri Makanan serta Fakulti Reka Bentuk Industri dan Teknologi.

Seramai 15 orang alumni sulung PUSPA telah bergraduasi dan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-13 pada 27-30 Mac 2022. Kesemua mereka telah mencapai keputusan yang cemerlang dengan salah seorang alumni menerima Anugerah Terbaik Fakulti dan seterusnya menerima pingat Ibnu Rushd. Mereka merupakan antara 3,047 orang graduan yang bergraduasi pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-13, di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA Kampus Gong Badak.

Alumni PUSPA menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa pengajian ijazah di UniSZA. Selain pengajaran akademik, PUSPA juga menitikberatkan bimbingan kerohanian dan jasmani. Para pelajar PUSPA mengikuti aktiviti sukan sunnah iaitu memanah dan berkuda.

Selain itu, mereka juga turut terlibat dengan pelbagai pertandingan peringkat kebangsaan seperti pertandingan Debat Inter Asasi, Kejohanan Sukan Asasi, Pertandingan Inovasi Inter Asasi (PIITRAM), Kuiz Kimia Kebangsaan dan Malaysia Technology Expo (MTE). Dari segi kerohanian, sebelum memulakan kuliah para pelajar juga membaca ayat suci al-Quran dan solat sunat duha terlebih dahulu. Pelajar yang terpilih juga turut mengikuti kelas hafazan al-Quran yang dibimbing oleh tenaga pakar.

Ringkasnya, PUSPA telah berjaya menghasilkan graduan yang cemerlang dalam akademik dan turut berpotensi dalam kemahiran insaniah. Justeru itu, diharapkan agar graduan sulung alumni PUSPA akan menjadi insan yang dapat menyumbang tenaga dan idea serta kepakaran dalam bidang sains, perubatan dan teknologi kepada masyarakat dan negara.